Soalan Lazim Pkp Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri

Soalan lazim PKP Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Bahagian 1: Soalan umum mengenai operasi aktiviti ekonomi

1. Bolehkah syarikat saya beroperasi sepanjang tempoh PKP?

Ya, sekiranya syarikat anda dikategorikan di bawah Senarai Perkhidmatan Perlu dan bagi sektor pengilangan dan pembuatan, syarikat telah berdaftar dengan MITI melalui sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) menggunakan pautan https://notification.miti.gov.my.

DISYORKAN UNTUK ANDA
Soalan lazim berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Kementerian Sumber Manusia
Syarikat boleh beroperasi tanpa surat MITI, saringan pekerja tidak diwajib

Kelulusan beroperasi PKP 1, PKP 2 terpakai dalam PKP 3
37 perkhidmatan dalam 5 sektor dibenar beroperasi

2. Perlukah saya memohon kebenaran untuk beroperasi daripada MITI melalui sistem pangkalan data CIMS sepanjang tempoh PKP?

Syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dan rantaiannya yang telah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu CIMS tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi dalam tempoh PKP. Surat pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat mulai 12 Januari 2021, jam 3.00 petang. Bagi syarikat-syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dan rantaian dalam perkhidmatan perlu yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian mulai 12 Januari 2021, jam 3.00 petang. Surat pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.

3. Bolehkah syarikat saya beroperasi 24 jam?

Sila rujuk SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui laman web www.mkn.gov.my. Aktiviti ekonomi dan industri yang disenaraikan sebagai sektor ekonomi perlu oleh MKN iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi boleh beroperasi mengikut SOP khusus yang ditetapkan oleh Kementerian/ Agensi berkaitan. SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab MITI, boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my

4. Bolehkah saya menghantar barangan ke lokasi-lokasi di kawasan PKP menggunakan kenderaan perdagangan?

Kenderaan perdagangan yang membawa barangan dan perkhidmatan dibenarkan keluar masuk menggunakan pas pekerja atau surat kebenaran majikan.

5. Bolehkah saya menghantar barangan komersil/ perniagaan ke luar daerah atau negeri?

Boleh, dengan syarat surat pengesahan majikan ATAU pas pekerja dibawa bersama.

6. Adakah saya dibenarkan untuk rentas daerah/negeri untuk tujuan kerja/perniagaan?

Ya, dibenarkan. Pekerja hanya perlu membawa pas pekerja atau surat kebenaran majikan.

7. Bolehkah semua pekerja saya datang bekerja?

Bagi Kumpulan Pengurusan, hanya 30 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat manakala kehadiran pekerja bagi kategori lain terhad kepada mereka yang perlu hadir secara fizikal ke tempat kerja. (Definisi bagi Kumpulan Pengurusan boleh dirujuk di Bahagian 2, Soalan No. 2) Manakala, bagi kerja-kerja yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal, arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan berkuatkuasa.

8. Apakah SOP syarikat sepanjang PKP?

Sila ke laman sesawang Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my untuk merujuk kepada SOP terkini. SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang dibawah tanggungjawab MITI, boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my

9. Apakah yang boleh saya lakukan sekiranya syarikat tidak mematuhi SOP PKP?

Anda boleh melaporkan ketidakpatuhan syarikat di balai polis berhampiran.

10. Bolehkah syarikat memohon pengesahan Perakuan Tempasal (Certificate of Origin atau COO) sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP?

Boleh, pengendorsan COO boleh dilakukan di Kaunter Aras 2, MITI seperti sedia kala.

11. Adakah permohonan keluar dan masuk dari Malaysia melalui Jawatankuasa One Stop Centre (OSC) masih diteruskan seperti biasa?

Ya. Permohonan keluar dan masuk dari Malaysia melalui Jawatankuasa OSC masih diteruskan dalam tempoh PKP ini.

Bahagian 2: Arahan bekerja dari rumah (BDR)

1. Apakah yang dimaksudkan dengan amalan BDR?

Amalan BDR merujuk kepada pelaksanaan tugasan pejabat di rumah masing-masing mengikut tatacara/garis panduan yang ditetapkan oleh majikan mengikut keperluan syarikat masing-masing.

2. Adakah amalan BDR wajib bagi semua pekerja industri?

Pihak majikan wajib melaksanakan amalan BDR bagi kakitangan kumpulan pengurusan yang merangkumi antaranya tugasan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan, ICT dan yang berkaitan. Selaras dengan objektif untuk mengekang penularan pandemik COVID-19, hanya 30 peratus pekerja dalam Kumpulan Pengurusan dibenarkan berada di pejabat.

Manakala, jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja-pekerja yang terbabit secara langsung dalam barisan pengeluaran akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Contohnya, sekiranya terdapat 10 orang atau kurang di dalam kumpulan pengurusan dan penyeliaan, hanya tiga orang sahaja yang dibenarkan untuk datang ke pejabat pada satu-satu masa. Bagi pekerja sektor-sektor lain yang tidak disenaraikan di dalam Senarai Perkhidmatan Perlu, arahan BDR akan berkuatkuasa.

3. Apakah tindakan yang majikan perlu ambil sekiranya pekerja tidak mahu datang bekerja dan mahu BDR?

Majikan boleh mengambil tindakan mengikut budi bicara dan tatacara syarikat berdasarkan dasar Kerajaan dan Akta yang berkaitan. Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila rujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja.

4. Adakah pekerja yang perlu ke pejabat perlu menjalani ujian saringan COVID-19?

Sila rujuk SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui laman web www.mkn.gov.my.

5. Syarikat saya sudah berdaftar di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), perlukah saya mendaftar sekali lagi?

Tidak perlu. Pendaftaran di CIMS hanya perlu dilakukan sekali sahaja tetapi syarikat perlu memuat turun surat pengesahan pendaftaran terkini yang boleh dicapai melalui sistem CIMS dengan menggunakan log masuk dan kata laluan yang sama.

6. Syarikat saya sudah berdaftar di bawah COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) dan telah diberikan surat kebenaran beroperasi pada tahun 2020. Perlukah saya mendaftar sekali lagi?

Surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan terdahulu adalah terbatal. Walau bagaimanapun, syarikat tidak perlu mendaftar sekali lagi, tetapi hanya perlu memuat turun surat pengesahan pendaftaran terkini yang boleh dicapai melalui sistem CIMS dengan menggunakan log masuk dan kata laluan yang sama.

7. Bolehkah syarikat saya beroperasi 24 jam?

Sila rujuk SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui laman web www.mkn.gov.my.

8. Apakah Senarai Perkhidmatan Perlu yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP?

Syarikat boleh merujuk kepada Senarai Perkhidmatan Perlu di Lampiran 1.

9. Perlukah saya mengemaskini senarai pekerja yang pernah diisytiharkan sebelum ini di dalam CIMS?

Tidak perlu.

10. Apakah dokumen yang perlu dibawa oleh pekerja sebagai pengesahan kebenaran bertugas daripada majikan kepada pihak berkuasa?

Pekerja syarikat adalah wajib membawa bersama sesalinan surat pengesahan pendaftaran dan pas pekerja/surat pengesahan majikan bagi tujuan pergerakan antara kediaman dan tempat kerja.

11. Apakah had penumpang maksimum yang dibenarkan bagi kenderaan persendirian?

i. Untuk mendapatkan barangan keperluan asas had penumpang adalah terhad kepada dua orang sahaja, iaitu seorang pemandu dan seorang penumpang;

dan

ii. Bagi mendapatkan rawatan di hospital atau klinik, had penumpang maksimum adalah tiga (3) orang, iaitu seorang pemandu dan dua penumpang.

12. Apakah SOP syarikat sepanjang PKP?

Sila rujuk laman web Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my untuk membaca senarai-senarai SOP PKP yang ditetapkan Kerajaan bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi. SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab MITI, boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my

13. Apakah yang boleh saya lakukan sekiranya syarikat tidak mematuhi SOP PKP?

Anda boleh melaporkan ketidakpatuhan syarikat kepada balai polis berdekatan.

Bahagian 3: Pendaftaran COVID-19 Intelligent Management System (CIMS)

1. Bagaimana saya boleh membuat pendaftaran di CIMS?

Anda boleh ke pautan https://notification.miti.gov.my membuat pendaftaran dan ikut arahan dari laman ke laman. Jangan letak 'www' di URL pendaftaran ini.

2. Saya menghadapi masalah teknikal dalam mengakses CIMS. Apakah yang harus saya lakukan?

Sekiranya anda tidak boleh mengemaskini maklumat anda di CIMS, mohon emel kepada kumpulan teknikal CIMS di [email protected]

** SENARAI PERKHIDMATAN PERLU

A. Pengilangan dan Pembuatan

1. Aeroangkasa termasuk MRO;

2. Pengilangan dan Perkhidmatan Lepas Jualan Automotif;

3. Makanan, minuman dan rantaiannya;

4. Pembungkusan dan percetakan;

5. Produk barangan rumah, barang penjagaan diri (FMCG - sabun, pembersih diri dan lain-lain) dan bahan pencuci termasuk rantaiannya;

6. Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet;

7. Peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan keselamatan kebakaran;

8. Komponen untuk alat perubatan;

9. Elektrikal dan elektronik;

10. Minyak dan gas (Oil and Gas);

11. Petrokimia dan produk petrokimia;

12. Produk kimia;

13. Mesin dan peralatan;

14. Seramik (seramik sebagai acuan bagi pembuatan sarung tangan);

15. Besi dan keluli;

16. Tekstil (yang melibatkan pengeluaran PPE);

17. Sektor perabot; dan

18. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

B. Pembinaan

19. Pembinaan:

i. Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal;

ii. Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama; dan

iii. Kerja-kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

C. Perkhidmatan

20. Perkhidmatan Kewangan dan rantaiannya:

i. Institusi Kewangan (Perbankan, Insurans, Takaful dan entiti-entiti lain yang dilesen, diilulus atau didaftar oleh Bank Negara Malaysia); dan

ii. Entiti-entiti pasaran modal yang dilesen, didaftar atau dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

21. Perkhidmatan perbandaran dan kerajaan tempatan:

i. Pajak gadai/kredit komuniti (syarikat peminjam wang berlesen);

ii. Pengurusan sisa pepejal/ pembetungan;

iii. Pembersihan awam; dan

iv. Pembersihan premis dan sanitasi.

22. Infrastuktur telekomunikasi dan digital termasuk perkhidmatan ICT dan perkhidmatan perniagaan global (GBS);

23. E-Dagang dan rantaiannya termasuk perkhidmatan e-marketplace, pembayaran digital dan pusat internet e-dagang setempat;

24. Hotel dan penginapan;

25. Sektor pertanian, perikanan dan penternakan termasuk perkhidmatan veterinar:

i. Pengurusan ladang/ sarang burung walit/ kuda/ loji pemprosesan haiwan/ rumah sembelihan/ ternakan/ kilang makanan haiwan ternakan/pembekal seperti vaksin/pengurusan ternakan/kedai haiwan kesayangan (operasi pemindahan ternakan adalah pada waktu malam);

ii. Kawalan penyakit dan dikawal selia pengeluaran ternakan hidup, input ternakan dan produk berkaitan industri ternakan (termasuk eksport dan import); dan

iii. Pengurusan kesihatan, diagnosa penyakit dan rawatan haiwan.

26. Utiliti (air dan tenaga);

27. Perkhidmatan profesional (termasuk akauntan/ peguam/ juruaudit/ jurutera/ arkitek), saintifik (termasuk R&D) dan teknikal (termasuk penyenggaraan)

28. Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (Security Services);

29. Keselamatan dan Pertahanan;

30. Pengangkutan melalui darat, air dan udara;

31. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan dan pemindahan kargo, pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi.

D. Perdagangan Pengedaran

32. Penggudangan dan Logistik;

33. Perkhidmatan/ Penjualan/ Penghantaran Makanan dan Minuman; dan

34. Peruncitan/ Pengedaran/ Pemborongan.

E. Perladangan dan Komoditi

35. Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya; dan

36. Perladangan dan komoditi serta rantaiannya.

F. Lain - Lain

37. Apa-apa perkhidmatan, kerja, industri dan perniagaan sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Kesihatan selepas berunding dengan pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan, kerja, industri dan perniagaan itu.