
#JomBeringat
HENTIKAN TABIAT SUKA PANDU PERLAHAN DI LORONG KANAN
“Biar lambat, asalkan selamat” – Pernah dengar peribahasa ini? Ia membawa maksud yang baik, namun penggunaannya perlulah bertempat.
Sebagai contoh, anda memandu ‘lambat seperti seekor kura-kura’ di bahagian lorong laju – Adakah ia selamat? Mungkin ya pada anda, tetapi berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
Memandu perlahan pada kelajuan 50km sejam di laluan kanan sedangkan had laju yang dibenarkan ialah 90km sejam, bukan sahaja menyusahkan pengguna lain, malah boleh menyebabkan kesesakan selain mengundang risiko kemalangan jalan raya.
Pemandu di belakang tidak dapat meningkatkan kelajuan ke had maksimum yang dibenarkan, kerana terpaksa mengekori kenderaan hadapan yang sedang menikmati pemanduan santai ibarat berada di tepi pantai lagaknya.
Sikap tidak prihatin untuk beralih ke lorong kiri bagi memberi laluan mereka yang memandu laju itu, boleh menyumbang kepada kesesakan lalu lintas dan membangkitkan kemarahan, lebih-lebih lagi ketika waktu puncak.
Kemalangan juga boleh berlaku apabila kenderaan yang datang secara laju di lorong kanan terpaksa menekan brek secara mengejut ketika hampir dengan pemandu ‘kura-kura’ di hadapannya kerana tidak ‘senada’ kelajuan.
Pengguna lain juga terpaksa mengambil alternatif dengan memotong dari lorong kiri dan ia ternyata boleh membahayakan nyawa mereka.
Ingat, lorong kanan adalah untuk kenderaan yang ingin memotong. Patuhi papan tanda "IKUT KIRI JIKA TIDAK MEMOTONG" sekiranya anda tidak bercadang untuk memintas kenderaan lain.
Memandu juga mestilah mengikut had laju yang ditetapkan. Bukan memandu melebihi had laju sahaja membahayakan pengguna jalan raya, tetapi juga memandu terlalu perlahan. Amalkan sikap saling bertoleransi, bertolak ansur dan bertimbang rasa sesama pengguna yang lain.