Pkpb Di Selangor, Kl, Putrajaya Dilaksana 14-27 Okt

PKPB DI SELANGOR, KL, PUTRAJAYA DILAKSANA 14-27 OKT

Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

“Pergerakan keluar masuk, merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun, bagi pekerja yang perlu merentas daerah, perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Katanya, semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi ditutup, dan hanya dua orang sahaja daripada satu rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.